Keutamaan Shalat Dhuha Dan Huraian Perihal Sesedikit-sedikitnya Rakaat Dhuha, Sebanyak-banyaknya Dan Yang Pertengahannya Serta Anjuran Untuk Menjaga Untuk Terus Melakukannya
1136. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Kekasihku – yakni Nabi Muhammad s.a.w. telah memberikan wasiat padaku untuk melakukan puasa sebanyak tiga hari dalam setiap bulan, juga dua rakaat sunnah Dhuha dan supaya saya bersembahyang witir dulu sebelum tidur.” (Muttafaq ‘alaih)

Melakukan shalat witir sebelum tidur itu hanyalah disunnahkan bagi seseorang yang tidak mempercayai dirinya akan dapat bangun pada akhir malam. Tetapi sekiranya dapat mempercayai dirinya, Maka pada akhir malam adalah lebih utama lagi.

1137. Dari Abu Zar r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: “Setiap ruas tulang dari seseorang di antara engkau semua itu harus ada sedekahnya pada saban pagi harinya, maka setiap sekali tasbih – bacaan Subhanallah – adalah sedekah, setiap sekali tahmid – bacaan Alhamdulillah – adalah sedekah, setiap sekali tahlil – bacaan La ilaha ilallah – adalah sedekah, setiap sekali takbir – bacaan Allahu Akbar – adalah sedekah, memerintahkan kepada kebaikan adalah sedekah, melarang dari kemunkaran adalah sedekah dan yang sedemikian itu dapat dicukupi oleh dua rakaat yang dilakukan oleh seseorang dart shalat Dhuha.” (Riwayat Muslim)

1138. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: “Rasulullah s.a.w. itu bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahkan dari jumlah itu sekehendak hatinya.” (Riwayat Muslim)

1139. Dari Ummu Hani’ iaitu Fakhitah binti Abu Thalib radhiallahu ‘anha, katanya: “Saya pergi ke tempat Rasulullah s.a.w. pada hari pembebasan – kota Makkah, lalu saya temui beliau s.a.w. sedang mandi. Setelah selesai beliau s.a.w. mandi, lalu bersembahyang sebanyak lapan rakaat. Itulah shalat Dhuha.” (Muttafaq ‘alaih)

Ini adalah yang diringkaskan dari lafaznya salah satu dari beberapa riwayat Muslim.