Keutamaan shalat-shalat Sunnah Rawaatib Yang
Mengikuti Shalat-shalat Fardhu Dan Huraian Sesedikit-
sedikit Rakaatnya, Sesempurna sempurnanya Dan Yang
Pertengahan Antara Keduanya
1094. Dari Ummul mu’minin iaitu Ummu Habibah yakni Ramlah binti Abu Sufyan radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tiada seorang hambapun yang Muslim yang bersembahyang kerana Allah Ta’ala setiap hari dua belas rakaat sebagai shalat sunnah yang bukan diwajibkan, melainkan Allah akan mendirikan untuknya sebuah rumah dalam syurga, atau: melainkan untuknya akan didirikanlah sebuah rumah dalam syurga.” (Riwayat Muslim)

1095. Dari Ibnu Umar radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Saya bersembahyang bersama Rasulullah s.a.w. dua rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat lagi sesudahnya, juga dua rakaat sesudah Jum’ah, dua rakaat sesudah Maghrib dan dua rakaat pula sesudah Isya’.” (Muttafaq ‘alaih)

1096. Dari Abdullah bin Mughaffal r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Antara setiap dua azan boleh bersembahyang sunnah, antara setiap dua azan boleh bersembahyang sunnah, antara setiap dua azan boleh bersembahyang sunnah.” Dalam ketiga kalinya ini beliau s.a.w. bersabda: “Bagi orang yang suka mengerjakan itu.” (Muttafaq ‘alaih)

Yang dimaksudkan dengan dua azan itu ialah azan dan iqamat.