Shalat Sunnah Maghrib, Sesudah Dan Sebelumnya
Sudah terdahulu dalam bab-bab di muka Hadisnya Ibnu Umar radhiallahu ‘anhuma – lihat Hadis no. 1095 – dan Hadisnya Aisyah radhiallahu ‘anha – lihat Hadis no. 1112 – dan keduanya itu adalah shahih bahawa Nabi s.a.w. bersembahyang dua rakaat sesudah Maghrib.

1119. Dari Abdullah bin Mughaffal r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:

“Bersembahyanglah engkau semua sebelum Maghrib – yakni shalat sunnah.” Beliau s.a.w. mengucapkan dalam sabdanya yang ketiga kalinya dengan tambahan: “Bagi siapa yang ingin melakukannya.” (Riwayat Bukhari)

1120. Dari Anas r.a., katanya: “Sungguh-sungguh saya telah melihat golongan sahabat-sahabat besar-besar sama bersegera ke ruang dalam masjid ketika Maghrib – yakni sesudah azan Maghrib dibunyikan perlu shalat sunnah di situ. (Riwayat Bukhari)

1121. Dari Anas r.a. pula, katanya: “Kita semua di zaman Rasulullah s.a.w. bersembahyang dua rakaat sesudah terbenamnya matahari yakni sebelum Maghrib.” la ditanya: “Apakah Rasulullah s.a.w. juga bersembahyang sunnah itu?” Anas r.a. menjawab: “Beliau s.a.w. melihat kita bersembahyang dua rakaat itu, tetapi beliau s.a.w. tidak menyuruh kita melakukannya dan tidak pula melarangnya.” (Riwayat Muslim)

1122. Dari Anas r.a. pula, katanya: “Kita semua ada di Madinah, maka jikalau muazzin telah selesai berazan untuk shalat Maghrib, maka orang-orang sama bersegera ke ruang dalam masjid lalu bersembahyang dua rakaat, sehingga sesungguhnya seseorang asing – yang tempatnya bukan di Madinah – nescayalah kalau ia masuk masjid pasti mengira bahawa shalat wajib Maghrib sudah selesai dikerjakan kerana banyaknya orang yang bersembahyang sunnah dua rakaat sebelum Maghrib itu.” (Riwayat Muslim)